Rahsia Kesihatan Wanita 30-an, Jangan Abaikan 5 Perkara Ini ~ Akak Terlajak Laris

Monday, 28 August 2017

Rahsia Kesihatan Wanita 30-an, Jangan Abaikan 5 Perkara Ini


Biasanya apabila masuk usia 30 hingga 39 tahun, kesihatan wanita mula menjadi terabai. Mereka lebih cenderung kepada kerjaya, rumah tangga dan anak-anak yang semakin membesar. Secara saintifiknya, kesihatan wanita juga akan merosot kerana fungsi badan kita sudah menjadi kurang efisyen. Maka, kita perlulah sentiasa peka dengan perubahan ini.

1. OTOT BADAN

Kalau nak bandingkan otot-otot badan di usia 30-an memang lah tidak sehebat seperti zaman remaja dulu. Semua aktiviti nak cuba. Tapi sekarang, berjalan jauh sikit pun dah sesak nafas. Lagi satu, cepat benar terasa letih bila buat kerja-kerja berlebihan.

Alternatif: Latih diri untuk lakukan regangan badan setiap hari. Bersenam adalah cara yang terbaik untuk menguatkan stamina.

2. PEMAKANAN

Kalau dulu, makanlah apa saja biarpun lewat malam sehingga 2-3 pagi, tak gemuk pun. Tapi sekarang, makan control masih juga badan macam dipam-pam! Perlu ingat, semakin usia meningkat, kadar metabolisme pula akan menurun. Ia antara sebab mengapa badan mudah menjadi “naik”.

Alternatif: Kurangkan makan makanan berproses seperti makanan dalam tin. Ambil makanan yang kaya dengan Omega 3 seperti ikan dan kekacang. Sertakan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam pemakanan seharian.

3. KESUBURAN

Usia antara faktor utama penyumbang dalam kesuburan kaum wanita. Semakin naik usia, semakin susah untuk ‘melekat’. Itu yang biasa kita dengar sejak zaman dulu lagi.

Alternatif: Antara faktor kesuburan yang boleh dikawal ialah kesihatan tubuh badan dan pemakanan yang seimbang serta berkhasiat. Apa pun, bila bercakap tentang anak, sentiasalah percaya dengan ketentuanNya.

4. KEPERLUAN BERJUMPA DOKTOR

Selagi tak sakit yang berat, memang tiada lah nak berjumpa doktor. Paling-paling pun makan ubat sahaja. Selalunya, hanya ke klinik untuk rawatan anak-anak yang sakit.

Alternatif: Setiap 2 tahun, buat saringan kesihatan untuk pemeriksaan darah tinggi dan kolesterol. Ia penting kerana jika dapat dikesan awal, boleh menyelamatkan anda daripada penyakit 3 serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan jantung.

5. KULIT BADAN

Gabungan stress, diet yang tidak seimbang, dan hormon boleh menyebabkan kulit kurang berseri dan nampak kusam. Penggunaan pencuci muka dan losen badan yang tidak sesuai dengan usia juga menyebabkan kulit jadi kering.

Alternatif: Guna produk penjagaan diri yang sesuai dengan umur kerana ia membantu mengekalkan minyak semula jadi dalam badan. Amalkan juga petua-petua yang menggunakan bahan semulajadi sekali-sekala.

Sumber: sirap limau

Share:

0 comments:

Post a Comment