Wanita Mengandung Tahu Tak Bahaya Penyakit Pre-Eclampsia, ~ Akak Terlajak Laris

Monday, 6 November 2017

Wanita Mengandung Tahu Tak Bahaya Penyakit Pre-Eclampsia,


Adakah korang tahu mengenai penyakit Pre-eclampsia? 

Pre-eclampsia adalah keadaan yang berlaku hanya kepada ibu yang mengandung, selalunya selepas 24 minggu kehamilan. 

Selama mengandung, penyakit itu boleh bertambah teruk dan hendaklah dipantau dengan rapi sehingga bersalin.

Di facebook, doktor ini, Imelda Balchin berkongsi pengalaman terpaksa menggugurkan kandungan seorang ibu hamil kerana janinnya berhenti membesar. 

Pre-eclampsia: Apa yang doktor patut memberitahu anda.

Saya menulis di sini sebab ada seorang wanita (bukan patient saya) yang kehilangan zuriat disebabkan pre-eclampsia di peringkat awal kehamilannya (23 minggu) yang meminta saya memberi penerangan yang lebih mendalam sebelum mencuba lagi sekali. Inilah pesanan saya kepadanya.

Lima bulan dahulu, saya terpaksa menggugurkan kandungan seorang lagi ibu hamil kerana janin nya sudah berhenti membesar sebelum sampai ke peringkat kematangan di mana ia boleh berdaya hidup dan boleh diselamatkan (iaitu sebelum 24 minggu kehamilan).

Ibu tersebut mangalami penyakit buah pinggang yang kronik yang tidak terkawal sebelum kehamilannya. Ini menyebabkan penyakit pre-eclampsia yang tidak terkawal bila mengandung, uri tidak berfungsi dengan sempurna dan janin tidak membesar, dan masalah buah pinggang dan tekanan darah tinggi yang bertambah teruk kepada ibu. Tujuan pengguguran janin selepas 120 hari (janin sudah pun mempunyai jasad dan roh) ialah untuk menyelamatkan nyawa ibu. Innalillahiwainnailaihirojiun.

Penyakit pre-eclampsia ini hanya boleh berlaku kepada ibu yang mengandung, selalunya selepas 24 minggu kehamilan. Ia terjadi kepada lebih kurang 4 peratus ibu-ibu mengandung. Ibu yang mendapat penyakit ini, hanya akan sembuh selepas bersalin kerana tidak ada ubat yang boleh merawat penyakit ini semasa mengandung. Jika ibu mendapat penyakit pre-eclampsia, selagi masih mengandung, selagi itu penyakit itu boleh bertambah teruk dan hendak lah dipantau dengan rapi sehingga bersalin.
Bagaimanakah doktor mengenalpasti siapakah ibu yang mendapat pre-eclampsia? Darah tinggi dan terdapat protein di dalam air kencing. Kebanyakan ibu ini tidak pun merasa tidak sihat. Itulah sebabnya setiap ibu mengandung digalakkan datang ke kelinik ibu mengandung untuk tujuan memantau dan mengenalpasti pre-eclampsia sebelum terlambat. Bila doktor sudah mengenalpasti siapakah ibu yang berpenyakit pre-eclampsia, insyallah, ibu dan janin akan diberikan perhatian yang lebih rapi. Kebanyakan ibu dan janin selamat dilahirkan.

Akibat penyakit pre-eclampsia yang tidak terkawal atau tidak dikenalpasti (undiagnosed) atau tidak dipantau, termasuk: eclampsia (sawan), stroke disebabkan tekanan darah yang terlalu tinggi dan pendarahan di dalam otak ibu, kematian ibu, kerosakan buah pinggang sementara (sehingga bersalin), kerosakan hati sementara (sehingga bersalin), pendarahan disebabkan uri tertanggal sebelum bersalin (placental abruption), kematian janin.

Ada segelintir ibu yang boleh mendapat pre-eclampsia sebelum 24 minggu kehamilan, dan selalunya ibu-ibu ini ada masalah kesihatan yang lain seperti penyakit buah pinggang yang kronik, penyakit autoimmune Antiphospholipid Syndrome, darah tinggi yang tidak terkawal sebelum hamil, penyakit kencing manis yang tidak terkawal sebelum hamil.

Cara mengelakkan pre-eclampsia daripada berlaku semula di kehamilan di masa hadapan ialah dengan mengawal penyakit-penyakit tersebut sebelum hamil (jika ada), memastikan ibu hamil datang berjumpa pakar dari permulaan kehamilannya dan diberi ubat aspirin yang berdos rendah sejak 12 minggu kehamilan. Selain daripada itu, kekurangan zat seperti calcium dan vitamin D telah terbukti boleh mengakibatkan pre-eclampsia. Ibu-ibu ini harus diberi supplemen calcium dan Vitamin D untuk mengurangkan risiko pre-eclampsia sejak awal kehamilan. Jika ada penyakit kencing manis, pengawalan gula di dalam darah juga terbukti mengurangkan risiko pre-eclampsia.

Selepas bersalin, semua ibu-ibu akan sembuh. Tetapi pre-eclampsia semasa hamil boleh meninggalkan kesan ke atas kesihatan ibu di masa hadapan.

Kajian ke atas lebih daripada 3 juta wanita yang pernah hamil, di mana lebih daripada 190 ribu pernah mendapat pre-eclampsia telah menunjukkan:

Bagi wanita yang pernah mendapat pre-eclampsia bila dibandingkan dengan wanita yang tidak pernah mendapat pre-eclampsia semasa hamil:

1. Risiko mendapat penyakit tekanan darah tinggi adalah 4 kali ganda selepas 14 tahun. Risiko ini menjadi 7 kali ganda jika mendapat pre-eclampsia pada dua kehamilan berturut-turut, atau mendapat pre-eclampsia di peringkat awal kehamilan (sebelum 32 minggu kehamilan).

2. Risiko mendapat penyakit jantung atau stroke adalah dua kali ganda (sama risikonya dengan orang yang merokok) dalam jangkamasa 10 tahun selepas bersalin.

Oleh itu, saya menasihati dan menggalakkan semua wanita yang pernah mendapat penyakit pre-eclampsia berjumpa doktor sekali setiap tahun untuk memantau kesihatan, memantau tekanan darah dan memastikan cara hidup yang sihat (menjaga berat badan, tidak merokok, makanan seimbang dan bersenam dengan kerap).

👉Penambahan: 

Golongan wanita mengandung yang berisiko tinggi untuk mendapat pre-eclampsia, yang patut tampil ke kelinik ibu mengandung seawal 12 minggu untuk mendapatkan aspirin berdos rendah, prescripsi zat calcium dan vitamin D termasuk: 
1) Wanita yang mempunyai darah tinggi (hypertension) sebelum mengandung
2) Wanita yang mempunyai penyakit kencing manis (Diabetes) sebelum mengandung
3) Wanita yang mempunyai penyakit buah pinggang yang kronik sebelum mengandung
4) Wanita yang mempunyai masalah autoimmune SLE atau antiphospholipid syndrome
5) Wanita yang pernah mendapat pre-eclampsia atau darah tinggi pada kehamilan yang lepas.

👉 Penambahan kedua:

Wanita-wanita hamil yang termasuk dalam golongan di bawah ini juga perlu tampil ke kelinik ibu mengandung untuk berjumpa dengan doktor dari peringkat awal kehamilan. Early booking, kalau boleh sebelum 12 minggu.
1) Umur ibu 40 tahun ke atas
2) Berat badan berlebihan (obesity)
3) Kehamilan kembar dua, tiga atau lebih
4) Pernah mendapat gestational Diabetes (GDM) di masa lepas.
Di bawah ialah gambar hiasan (bukan gambar patient saya).

via: Oh Bulan

Share:

0 comments:

Post a Comment