Nak Mudah Bersalin? Ini 12 Tips Daripada Doktor ~ Akak Terlajak Laris

Friday, 22 December 2017

Nak Mudah Bersalin? Ini 12 Tips Daripada Doktor



“Nak mudahkan awak bersalin nanti, kena la minum minyak ni haaa..”

“Yeke? Tak pernah pula saya dengar”

Bila tengah sarat mengandung ni, banyak betul petua-petua yang akan kita ambil sebagai panduan seharian. Kadang-kadang, sampai banyak sangat petua tu ada juga yang tersalah informasi. Dalam mengikut segala petua yang ‘disajikan’ kepada anda, amat penting juga untuk menapis segala informasi supaya tidak tersalah pilih. Salah satunya adalah petua untuk melancarkan proses bersalin. Jom kita baca inilah saranan doktor yang sebetul-betulnya!

BAGAIMANAKAH NAK MUDAH BERSALIN?
Jawapannya BUKAN minyak kelapa dara. Jawapannya ialah menjaga kesihatan sebelum hamil lagi.

1) Jika berat badan berlebihan, cuba kurangkan berat badan ke tahap yang sihat, kurang daripada BMI 27, sebelum hamil.

2) Sebelum hamil, ambil supplemen folik asid (tak perlu beli supplemen mahal-mahal), sekurang-kurangnya 0.4mg sehari dan tidak lebih dari 5mg sehari. Ini bukan rawatan kesuburan. Ini penting mengelakkan kecacatan janin. Ambil sehingga selesai 3 bulan pertama kehamilan (12 minggu). Folik acid ni tak boleh dapat dengan cukup dari pemakanan kita walaupun kita cuba sedaya upaya. Bila sayuran hijau di masak, folik acid ni terlalu cepat dan senang dimusnahkan.

4) Pemakanan yang sihat dan segar tanpa pengawet, tanpa tambahan gula, seimbang dan tidak berlebihan (pinggan suku-suku-separuh). Makanan tinggi dengan zat besi boleh mengelakkan kekurangan darah merah. Ini termasuk daging, telur (JANGAN makan yang mentah atau separuh mentah semasa hamil), sayuran hijau, kismis, aprikot kering. VCO TIADA ZAT BESI – dan tidak meningkatkan darah merah Hb! Sedikit iodine dan omega 3 daripada makanan laut penting untuk kesihatan – ambil sedikit ikan bilis atau sotong atau ikan sardin atau ikan kembung kecil setiap hari (sedikit saja mencukupi).

Jangan lupa minum sekurang-kurangnya 2Litre sehari, atau 8-10 gelas sehari. Air yang paling sihat sekali ialah air kosong bersih (air masak atau air mineral). Tak payah air Kangen. Tak payah air alkali. Tak payah air RO. Suhu air tu suka hati ibu. Bila air sejuk masuk ke dalam perut, dalam masa tak sampai 5 minit saja, suhu air itu menjadi suhu badan juga.


5) Bersenam dengan kerap 20 minit sehari setiap hari atau 150 minit seminggu. Bila hamil, teruskan dengan senaman – low impact aerobic, berjalan dengan pantas, kayuh basikal yang pegun (stationary bike) supaya tak terjatuh, berenang, yoga. Pengecualian – Jika ada pendarahan atau air ketuban pecah, masalah jantung, kehamilan kembar atau jika risiko tinggi mendapat kelahiran pramatang.

BERSENAM TIDAK MENYEBABKAN KEGUGURAN!

Senaman Kegel semasa hamil boleh mengelakkan masalah tak boleh kawal air kencing (urinary incontinence) atau terkencing bila terbatuk, dan boleh mengurangkan risiko masalah rahim jatuh (tombong) selepas bersalin. Teruskan senaman Kegel selepas bersalin untuk menguatkan kelonggaran faraj dan seumur hidup untuk mengelakkan rahim jatuh.

6) Bila hamil, JANGAN makan untuk dua. Hampir setengah wanita Malaysia memang berat badan berlebihan atau obese sebelum hamil lagi. Jika anda salah seorang daripada mereka, sila jangan tambah kalori semasa hamil, melainkan selepas 28 minggu kehamilan boleh tambah 200 kalori sehari. Tak perlu beli tambahan supplemen protin. Tak perlu beli susu untuk ibu yang ada tambahan gula dan kalori jika anda ubah tabiat memakan yang sihat dan seimbang.

7) Berat badan boleh naik 12-18kg hanya bagi wanita yang tersangat kurus sebelum hamil (BMI < 18.5). Jika berat badan normal, pastikan berat badan tidak naik lebih daripada 11-16kg semasa hamil. Jika berat badan lebih daripada BMI 23, pastikan tidak naik lebih daripada 7-11kg semasa hamil. Jika anda obese (BMI > 27.5), sila kawal berat badan supaya tidak naik lebih daripada 5-9kg semasa hamil. Cara mengawal kenaikan berat badan yang terbaik sekali ialah senaman.

8) Di awal kehamilan, pastikan anda mendapat ultrasound scan di antara 11-14 minggu untuk menentukan yang due date anda (EDD) adalah betul. Buka buku merah seawal 12 minggu. Jangan tunggu lambat-lambat.

9) Supplemen yang terbaik ialah Obimin (bukan Obimin pluz) yang juga mengandungi vitamin D 400iu. Kebanyakan wanita Malaysia kekurangan vitamin D dan ini boleh menyebabkan pre-eclampsia atau kelahiran pramatang. Doktor akan tambah zat besi jika perlu tetapi JANGAN TINGGALKAN Obimin yang penting untuk vitamin D. Kalau ambil Obimin, tak perlu tambah lagi folik acid sebab ia mengandungi cukup folik acid.

‘SAY NO TO VIT C INJECTION’

JANGAN AMBIL SUNTIKAN VIT C – sangat merbahaya untuk kesihatan. Tambahan Vit C sebanyak 1000mg ke atas telah terbukti menyebabkan kelahiran pramatang.

10) Jangan tinggalkan temujanji doktor/bidan. Awasi Pergerakan janin selepas 28 minggu kehamilan. Jika janin tidak cergas seperti biasa, sila berkunjung ke hospital, walaupun janin yang sudah matang atau sudah sampai ke due date.

11) Jangan lupa anti-tetanus toxoid vaksin bagi ibu yang dinasihatkan mengambilnya.

12) Urutan perineum dengan minyak setiap hari dari 36 minggu ke atas boleh melembutkan dan meregangkan kulit supaya boleh mengurangkan koyakan atau episiotomi semasa bersalin. Kendurkan kulit yang tegang di bahagian bawah faraj – Ini lah kulit perineum. Sapu minyak dan urut-urut. Boleh pakai minyak apa-apa pun. Tak payah pakai minyak kelapa dara mahal-mahal. Kajian perubatan yang dibuat telah menunjukkan yang minyak apa-apa pun berkesan.

Telan VCO tidak pernah terbukti memudahkan bersalin. Telan MILO campur mentega tidak pernah terbukti memudahkan bersalin. Apa yang terbukti memudahkan bersalin ialah kesihatan ibu.

Jika tidak obese dan bersenam dengan kerap, maka kuranglah masalah darah tinggi, kuranglah masalah kencing manis, kurang masalah janin terlalu besar dan kuranglah keperluan untuk di-induce, kurang pembedahan Caesar dan kuranglah masalah nak bersalin. Semoga ibu-ibu hamil kita sihat semasa hamil, sihat semasa bersalin, bersalin dengan normal dan mudah, dan mendapat zuriat yang sihat. Kalau boleh, saya nak bersara awal.

Artikel ini adalah hasil perkongsian Prof Dr Imelda, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur di laman Facebooknya.

Sumber: Imelda Balchin

Sila hubungi 0132334133

Share:

0 comments:

Post a Comment